Rakyat Perlu Naik Gaji Minimum RM2,102 Untuk Atasi Kos Sara Hidup - MTUC

Comments · 15 Views

KUALA LUMPUR : Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyokong tindakan kerajaan yang akan mempertimbangkan cadangan menaikkan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM2,102 sebulan.

Presiden Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, pihaknya berpandangan kenaikan gaji minimum perlu untuk mengatasi kos sara hidup yang semakin meningkat dan memastikan pekerja hidup dengan lebih sejahtera.

Katanya, MTUC juga mengakui terdapat keperluan untuk melihat secara menyeluruh kepada cadangan itu termasuk bagaimana ia akan dilaksanakan dan impak ekonomi yang mungkin timbul.

“Sokongan MTUC terhadap cadangan ini selaras pandangan sebelum ini yang menyokong kenaikan gaji minimum untuk memastikan keadilan ekonomi bagi pekerja di Malaysia,” katanya 

Rabu lalu Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata kerajaan akan pertimbang cadangan menaikkan gaji minimum yang dibuat Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef).

Minggu lalu, Unicef dalam laporan ‘The Living on the Edge Key Findings’ menyarankan penetapan kadar gaji lebih adil dengan mengambil kira faktor utama seperti kos sara hidup, pendapatan garis kemiskinan dan produktiviti.

 

Sementara itu, Effendy berkata kerajaan perlu campur tangan bagi memastikan peningkatan gaji yang berterusan dan tidak bergantung kepada kuasa pasaran semata-mata.

Katanya, cadangan Unicef itu bertujuan membantu golongan berpendapatan rendah mengatasi kos sara hidup yang tinggi terutama selepas pandemik Covid-19.

“Unicef menyarankan kenaikan ini berdasarkan kajian menunjukkan banyak keluarga di bandar menghadapi cabaran kewangan yang signifikan,” katanya.

Beliau turut meminta kerajaan membuat kajian mengenai pelaksanaan perintah gaji minimum (PGM) RM1,500 sebulan yang berkuat kuasa 1 Mei 2022 setiap dua tahun.3

Comments