Penduduk Malaysia kini 34 juta orang, 3.4 juta adalah warga asing

Comments · 373 Views

Kuala Lumpur: Penduduk Malaysia pada suku tahun pertama 2024, dianggarkan berjumlah 34.0 juta, meningkat 2.3 peratus berbanding suku tahun pertama 2023 iaitu hanya 33.2 juta.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata daripada jumlah itu 30.5 juta ialah warganegara, manakala selebihnya bukan warganegara.

"Penduduk lelaki meningkat kepada 17.7 juta daripada 17.2 juta dan perempuan meningkat kepada 16 juta daripada 15.8 juta.

"Secara keseluruhan, nisbah jantina penduduk adalah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan, manakala nisbah jantina bagi penduduk warganegara adalah 103 lelaki bagi setiap 100 perempuan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Mohd Uzir berkata penduduk berumur 0 hingga 14 tahun kekal tidak berubah pada 7.6 juta, sementara penduduk berumur 15 hingga 64 tahun meningkat kepada 23.6 juta daripada 23.1 juta, manakala penduduk berumur 65 tahun dan lebih meningkat kepada 2.5 juta daripada 2.4 juta.
 
Selain itu beliau berkata jumlah kelahiran hidup merekodkan penurunan sebanyak 1.1 peratus iaitu 112,767 kelahiran berbanding 114,067 kelahiran pada suku tahun keempat 2022.

"Bayi lelaki melebihi perempuan dengan 57,894 kelahiran berbanding 54,873 kelahiran. Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 20,931 kelahiran manakala jumlah kelahiran hidup terendah dicatatkan Wilayah Persekutuan Labuan iaitu 385 kelahiran.

Menurutnya lagi sebanyak 48,250 kematian direkodkan pada suku tahun keempat 2023, penurunan sebanyak 4.2 peratus berbanding suku tahun keempat 2022, iaitu bilangan kematian bagi lelaki adalah 27,508 manakala 20,742 kematian bagi perempuan.

-- BERNAMA
 
Comments