226 lagi PTI Dihantar Pulang Ke Negara Asal

Comments · 45 Views

SANDAKAN: Seramai 226 pendatang tanpa izin (PTI) dihantar pulang dari Pelabuhan Sandakan untuk balik ke negara asal, semalam.

Semua PTI terlibat adalah tahanan dari Depot Imigresen Sandakan yang dipindahkan menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Zamboanga City, Filipina.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan itu membabitkan seramai 153 lelaki dan 56 wanita.

Selain itu katanya, JIM turut menghantar pulang 17 kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 12 tahun kebawah.

“Ini adalah program pemindahan siri 7 untuk kategori Usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing menggunakan pengangkutan Vessel MV Antonia 1.

“Semua PTI berusia lingkungan dua hingga 73 tahun ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

 

SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.

Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata, Jabatan Imigresen Sabah akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

“Pemindahan PTI akan dilakukan setelah melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses undang-undang negara serta mendapat pengesahan daripada kedutaan negara masing-masing.

“Operasi Pemindahan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh Negeri Sabah,” katanya

Comments