Empat bot lakukan aktiviti pengeboman ikan berjaya dirampas

Comments ยท 526 Views

Semporna : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya merampas empat buah bot yang sedang melakukan aktiviti pengeboman ikan di Timur Laut Tanjung Tabu- Tabu, Semporna di sini petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Amir Shubli berkata, pihaknya dalam satu rondaan mendapati bot-bot berkenaan yang tiada nombor pendaftaran sedang berapung di kawasan cetek dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika dihampiri untuk pemeriksaan, tekong bot bersama awak-awaknya telah bertindak nekad terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan daratan berhampiran.

“Hasil pemeriksaan di dalam kesemua bot didapati sejumlah ikan yang dianggarkan hampir 50 kilogram keseluruhannya, serta botol kaca mengandungi baja yang disyaki digunakan untuk melakukan aktiviti pengeboman ikan juga telah dijumpai di atas dua buah bot yang dirampas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Amir berkata, hasil nilai rampasan dianggarkan hampir RM20,000 manakala kes ini akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985, Seksyen 26 (menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya).

Berikutan dengan penahanan ini, beliau berkata, Maritim Semporna tidak akan berkompromi dengan dengan mana-mana individu yang menjalankan aktivi pengeboman ikan kerana ia bukan sahaja salah disisi undang- undang malah boleh menjejaskan aktiviti pelancongan terutama para penyelam.

“Tambahan lagi aktiviti ini akan memberi kesan negatif kepada ekosistem laut dan juga boleh menyebabkan kecederaan parah dan kematian.

“Zon Maritim Semporna akan terus meningkatkan rondaan serta penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang pelanggaran undang-undang dan jenayah, orang ramai terutamanya komuniti maritim diminta agar menyalurkan maklumat dan aduan kepada Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

Comments