JKNS siasat remaja meninggal akibat kelalaian pihak Hospital Tuaran, tidak anggap kes serius

Comments · 7461 Views

Kota Kinabalu : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) memandang serius kes membabitkan seorang remaja yang meninggal dunia akibat demam denggi yang didakwa berpunca dari kelemahan diagnosa Pegawai Perubatan di Hospital Tuaran baru-baru ini.

Pengarah JKNS Datuk Dr Asits Sanna berkata, satu siasatan menyeluruh dan telus sedang dilaksanakan bagi mengenalpasti tindakan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan rawatan kesihatan kepada rakyat Sabah.

Untuk makluman, siasatan awal telah dilaksanakan oleh Jabatan ini dengan menyemak rekod perubatan pesakit semasa kedatangan pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tuaran.

Didapati pesakit telah hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tuaran sebanyak dua kali iaitu pada 25 dan 28 Disember 2023 yang lalu. Pesakit berkenaan merupakan seorang warganegara lelaki berusia 18 tahun dari Kampung Bulieng, Tuaran.

Pesakit ini telah hadir ke Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tuaran pada jam 11.23 pagi pada 25 Disember 2023 dengan gejala sakit ulu hati dan muntah-muntah selama satu hari.

Berdasarkan rekod, pesakit tidak mengadu sebarang gejala lain seperti demam, cirit-birit, sakit dada atau sesak nafas. Pemeriksaan tanda vital semasa menerima rawatan juga adalah stabil dengan bacaan suhu adalah normal, katanya dalam kenyataan di sini hari ini

Dr Asits berkata, pesakit ini telah diberi rawatan ubat gastrik dan ubat tahan muntah melalui suntikan intravena dan dibenarkan pulang selepas lebih kurang satu jam pengawasan di zon pemerhatian.

Katanya, pesakit kemudian telah dibenarkan pulang dengan ubat tahan sakit, ubat gastrik, dan turut dinasihatkan untuk datang semula dengan segera ke hospital jika gejala bertambah teruk.

Kemudian, pesakit telah datang semula ke Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Tuaran pada 28 Disember yang lalu pada jam 8.50 pagi kerana mempunyai gejala pendarahan dari hidung, demam, muntah-muntah, cirit-birit, dan kurang selera makan.

Pesakit kemudiannya telah diperiksa oleh Pakar Perubatan Kecemasan yang bertugas di Hospital Tuaran dan disahkan menghidap penyakit Denggi pada kedatangan kali kedua ini.

Memandangkan keadaan pesakit ketika itu tidak stabil, pesakit telah dirujuk dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut pada jam 11.30 pagi pada hari yang sama. Namun demikian, pesakit disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU), HQE pada hari berikutnya, katanya.

Dalam pada itu, Dr Asits berkata, JKNS akan sentiasa berusaha dari masa ke semasa untuk meningkatkan kualiti rawatan di Hospital Tuaran.

Katanya, pada masa kini, Hospital Tuaran telah mempunyai empat orang pakar yang bertugas iaitu seorang pakar perubatan am, dua orang pakar pediatrik dan seorang pakar perubatan kecemasan. SABAH MEDIA / FOTO MEDIA SOSIAL

artikel terkini : https://omiyou.com/read-blog/53_saya-sedih-tapi-redha-dengan-pemergian-anak-kedua-kami-ibu.html

muat turun aplikasi kami di google play sekarang KLIK SINI
atau daftar sekarang untuk berita terbaru dari kami setiap hari KLIK SINI

Comments