Sebab mengapa umat Islam wajib pertahankan bumi Palestin

コメント · 160 ビュー

Konflik Palestin dan Israel yang memasuki bulan kedua kini menyebabkan dunia semakin runsing tentang kesudahan dan pengakhiran peperangan kejam itu demi menghentikan pertambahan jumlah korban nyawa warga Palestin.

Israel dengan angkuh dan bongkak dilaporkan mahu meneruskan pengeboman di Semenanjung Gaza selagi pejuang Hamas berkeras tidak mahu melepaskan tebusan yang ditahan dalam serangan mengejut di Tel Aviv pada 6 Oktober 2023 lalu.

Sebenarnya, isu Palestin adalah isu penyatuan umat Islam di seluruh dunia dan tidak hanya terletak di atas bahu umat Islam Palestin sahaja, tetapi menjadi kewajipan dan tanggungjawab terhadap semua umat Islam di seluruh dunia.

Terdapat beberapa sebab dan faktor yang memerlukan rakyat Palestin, bahkan umat Islam di seluruh dunia mempertahankan bumi Palestin daripada pencerobohan Israel yang dilihat semakin kejam dan zalim sejak kebelakangan ini.

Faktor pertama,  masjid pertama sebagai kiblat umat Islam sebelum diubah ke Masjid Al-Haram di Makkah. Masjid al-Aqsa adalah masjid yang menjadi kiblat pertama bagi umat Islam untuk melaksanakan solat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling menghadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu, palingkanlah mukamu ke arah Masjid Al-Haram (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar daripada Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan." (Surah al-Baqarah: 144) 

Faktor kedua, masjid kedua yang dibina dan dibangunkan di atas muka bumi. Masjid pertama yang dibina ialah Masjid al-Haram, selepas pembinaan itu, barulah Masjid al-Aqsa dibina menurut catatan sejarah peradaban manusia.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Masjid apakah yang pertama dibangunkan di atas muka bumi ini? Baginda menjawab: Masjid al-Haram. Selepas itu, masjid apa pula? Baginda menjawab Masjid Al-Aqsa. Aku bertanya lagi, berapa lama jarak kedua-duanya dibangunkan? Baginda menjawab: 40 tahun, tetapi di mana pun kamu mendapati waktu solat, maka dirikanlah solat, tempat itulah sebagai masjid." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Faktor ketiga,  tanah yang diberkati oleh Allah SWT. Baitul Maqdis adalah tanah suci umat Islam, sebagaimana dinyatakan dan dijelaskan oleh Allah SWT tempat yang menjadi lokasi peristiwa Israk dan Mikraj.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada suatu malam dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang telah Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Isra': 1)

Perjalanan Nabi SAW mengambil masa dalam satu malam dan kembali semula ke Makkah sebelum terbit fajar. Nabi SAW dikhabarkan menunggang 'Buraq' bersama Jibril AS dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis Palestin, sebelum diangkat dari bumi sehingga langit ketujuh.

Israk adalah perjalanan bermula dari Makkah ke Masjid al-Aqsa (Baitul Maqdis). Manakala, Mikraj pula adalah perjalanan bermula dari Masjid al-Aqsa ke Sidratul Muntaha yang terletak di langit ketujuh. 

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sidratul Muntaha diangkat dinampakkan kepadaku di langit ketujuh." (Riwayat Ahmad)

Seterusnya, kedudukan Palestin dari sudut geografi yang terletak di bumi Syam juga digambarkan dan diisyaratkan akan sentiasa diberkati di dalam sebuah hadis. Nabi SAW telah mendoakan bumi Syam dengan keberkatan dan para malaikat membentangkan sayap ke atas bumi bertuah ini.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Beruntunglah bagi penduduk Syam, maka kami bertanya: mengapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: kerana para malaikat membentangkan sayap-sayapnya kepada mereka." (Riwayat at-Tirmizi).

Faktor keempat,  lokasi ketiga paling suci dan penting dalam Islam selepas Makkah dan Madinah. Terletak di kota lama Baitul Maqdis, Palestin, Sejak awal abad ketujuh, Masjid al-Aqsa memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan Nabi SAW.

Malah, Al-Aqsa adalah perkataan bahasa Arab yang bermaksud 'tempat suci yang paling jauh' atau 'masjid yang paling jauh' berbanding kedekatan jarak Nabi SAW dengan Masjid al-Haram di Makkah dan Masjid al-Nabawi di Madinah.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Bersolat di al-Masjid al-Haram menyamai 100,000 kali solat, bersolat di masjidku menyamai 1,000 kali solat dan bersolat di masjid Baitul Maqdis menyamai 500 kali solat." (Riwayat al-Bazzar, Ibn 'Adi, at-Tabarani dan al-Baihaqi)

Selain itu, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Janganlah bersungguh-sungguh untuk pergi mengembara melainkan kepada tiga masjid iaitu masjidku ini (Madinah), al-Masjid al-Haram (Makkah) dan al-Masjid al-Aqsa (Baitul Maqdis)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Faktor kelima,  bumi dan tanah para nabi dan rasul. Ramai kalangan nabi dan rasul telah bertugas menyampaikan risalah akidah tauhid kepada manusia sejak zaman berzaman di bumi Palestin.

Bumi Palestin adalah saksi terawal para utusan Allah SWT menyebarkan ajaran Islam dengan kelahiran agama 'Millah' Ibrahim yang juga menjadi teras ajaran Nabi SAW dalam menyempurnakan serta menutup risalah agama yang diajarkan para nabi dan rasul terdahulu.

 Seterusnya, Palestin juga menjadi bukti penurunan wahyu Allah kepada para nabi dan rasul-Nya, sebagaimana yang tersurat dalam kitab suci agama Samawi iaitu Yahudi, Nasrani dan Islam.

Nabi-nabi yang pernah berada di bumi Palestin antaranya ialah Nabi Ibrahim AS, Nabi Ismail AS, Nabi Luth AS, Nabi Ishak AS, Nabi Yaakub AS, Nabi Yusuf AS, Nabi Daud AS, Nabi Sulaiman AS, Nabi Syuib AS, Nabi Musa AS, Nabi Zakaria AS, Nabi Yahya AS, Nabi Isa AS dan ramai lagi.

Sejarah pernah mencatatkan bahawa Nabi Ibrahim  AS berhijrah ke Palestin. Nabi Luth pula diselamatkan dari azab yang diturunkan kepada kaumnya menuju ke Palestin. Sementara, Nabi Daud AS telah membangunkan 'mihrab' juga di Palestin.

Seterusnya, Nabi Sulaiman  AS   memerintah seluruh dunia bermula dan berpusat dari Palestin. Kisah popular dialog bersama semut berlaku di 'wadi an-naml' (lembah semut) yang terletak di 'Athqalan, Palestin.

Selain itu, 'mihrab' Nabi Zakaria AS juga berada di Palestin. Nabi Musa  AS  meminta kaumnya memasuki Palestin yang dinisbahkan sebagai 'Bumi Muqaddasah' yang bermaksud suci daripada syirik. 

Terdapat juga mukjizat yang berlaku di Palestin, antaranya Maryam melahirkan Nabi Isa AS tanpa 'disentuh' oleh lelaki, menggoyangkan pokok untuk mendapatkan makanan setelah bersalin dan Allah SWT mengangkat Nabi Isa AS ketika Bani Israil sepakat untuk membunuhnya.

Demikianlah, sebab kewajipan mempertahankan dan membebaskan Palestin adalah besar kepada seluruh umat Islam. Isu pembebasan bumi Palestin sewajarnya menjadi isu yang cukup signifikan bagi umat Islam di seluruh dunia. 

Dukacita sekiranya terdapat individu, organisasi dan negara Islam yang hanya berpeluk tubuh, mendiamkan diri, bahkan membiarkan sahaja Israel merampas bumi Palestin secara zalim dan ganas,

Ayuh bersama terus panjatkan doa buat umat Islam Palestin yang sedang mempertahankan bumi suci sebagaimana contoh Nabi SAW berdoa ketika Perang Badar sehingga datangnya bantuan dan pertolongan daripada Allah SWT.

コメント