Sebanyak 94 Pain Darah Berjaya Diperolehi Kempen Derma Darah Di Inanam

Comments · 675 Views

Sebanyak 94 Pain Darah Berjaya Diperolehi Kempen Derma Darah Di Inanam


Pengerusi Penganjur, Datuk Wong Thien Fook beramah mesra bersama penderma darah yang hadir.

Kota Kinabalu: Meskipun dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ia tidak menghalang kempen derma darah gabungan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sekitar Inanam untuk mengumpul 94 pain darah.

Usaha murni yang diadakan di Tugu Peringatan Inanam itu adalah bagi membantu mengisi tabung darah hospital yang kini berdepan kekurangan bekalan darah untuk keperluan semasa.

Kempen berkenaan dijayakan dengan kerjasama Persatuan Penderma Darah Negeri Sabah (Pendarah), Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) dan Persatuan Thalassaemia Sabah serta Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).

 

Wong bersama wakil Persatuan Penderma Darah Negeri Sabah (Pendarah), Tabung Darah Hospital Queen Elizabeth II (HQEII) dan Persatuan Thalassaemia Sabah serta Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).

 

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Inanam, yang juga Pengerusi Penganjur Datuk Wong Thien Fook berkata, selain membantu mendapatkan bekalan darah, kempen berkenaan juga memberi peluang kepada orang ramai membuat pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Selain itu katanya, menerusi program itu, ia dapat meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan menderma darah yang mampu menyelamatkan nyawa insan yang memerlukan.

“Kita akan mengadakan program seumpama ini dari semasa ke semasa sebagai usaha membantu pihak hospital mengisi tabung darah untuk kegunaan para pesakit yang memerlukan.

“Kami amat berterima kasih kepada orang ramai kerana sudi menderma darah dalam program yang diadakan buat kali pertama tahun ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

 

Antara yang hadir pada kempen derma darah yang diadakan di Tugu Peringatan Inanam.

 

Wong berkata, mengikut rekod hari ini, seramai 187 penderma tampil mendaftar namun hanya 94 yang dibenarkan untuk menderma darah.

Katanya, walaupun sasaran awal kempen ini adalah 100 pain darah namun pihaknya tetap berpuas hati dengan jumlah yang berjaya diperolehi.

“Kami berharap program seperti ini yang akan diadakan di masa hadapan akan dapat mencapai jumlah yang lebih tinggi.

“Orang ramai yang ingin menderma darah tidak perlu risau kerana proses menderma darah dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Tamat..

Ikuti Perkembangan Semasa Kami Di Fanpage Omiyou.com/pendarah

 

Comments