2 anggota polis samun, rogol pelajar kolej dituduh hari ini

Comments · 646 Views

AMPANG JAYA – Dua anggota polis yang dipercayai terlibat dengan kes rogol dan samun penuntut kolej swasta di Ampang, akan dituduh di mahkamah, hari ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah menerima arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menuduh dua anggota polis tersebut di Mahkamah Ampang, pukul 2 petang.

Ujarnya, kedua-dua anggota polis tersebut akan dituduh di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seorang daripada mereka juga akan dituduh di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 377C Kanun Keseksaan, Seksyen 377CA Kanun Keseksaan dan Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

Mereka juga telah dikenakan tindakan tahan kerja serta-merta. Pihak polis tegaskan bahawa tiada siapa akan dilindungi jika terlibat dengan jenayah.

Setiap kes akan disiasat dan mereka yang terlibat akan dibawa ke muka pengadilan, katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan dua anggota polis berpangkat Lans Koperal dan Konstabel ditahan kerja selepas disyaki melakukan jenayah samun dan rogol penuntut kolej swasta dalam kejadian di Bukit Ampang View, di sini, 9 Januari lalu.

Pihak polis menerima dua laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 18 tahun.

Kedua-dua pelajar kolej swasta tersebut dipercayai mangsa dalam kejadian pukul 10.09 malam itu.

Kejadian berlaku ketika mangsa dan rakan lelakinya berada di dalam kereta di lokasi kejadian sebelum ditahan oleh dua suspek lelaki yang lengkap beruniform.

Ekoran penahanan yang dibuat, kedua-dua mangsa telah dibawa ke lokasi berasingan.

Salah seorang suspek bertindak merogol mangsa wanita manakala mangsa lelaki dibawa ke sebuah bank kerana perlu menjelaskan bayaran yang diminta oleh kedua-dua suspek atas kesalahan lalu lintas.

Susulan laporan polis yang diterima, kedua-dua suspek telah ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis (IPD) Ampang. KOSMO! ONLINE.

Comments