Pemandu lori sampah maut, elak jalan berlubang dan tidak rata

التعليقات · 1285 الآراء

Kinabatangan: Pemandu lori sampah maut selepas dipercayai cuba mengelak lubang dalam kemalangan di Kampung Sentosa Jaya, Jalan Sandakan-Lahad Datu, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa Mohamad Izwan Mambasang, 39, turut dilaporkan tersepit dalam kenderaan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, hasil siasatan mendapati sebelum kejadian lori dipandu mangsa dari arah Lahad Datu menuju ke Sandakan.

Menurutnya, apabila tiba di tempat kejadian disyaki lori hilang kawalan akibat mengelak jalan yang berlubang dan tidak rata.

"Keadaan itu menyebabkan lori yang dipandu mangsa terbabas lalu terbalik dan mangsa terhimpit di kerusi pemandu dalam kepala lori.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Kinabatangan," katanya ketika dihubungi, di sini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke bilik mayat Hospital Kinabatangan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, saksi kejadian diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan di talian 089-561890 bagi membantu siasatan.

Disiarkan pada: Januari 13, 2024 @ 4:38pm
التعليقات