Pihak Polis lancar operasi besar-besaran banteras kereta sapu

Comments · 2215 Views

Pihak Polis lancar operasi besar-besaran banteras kereta sapu

KOTA KINABALU - Polis Sabah akan mengadakan operasi besar-besaran untuk membanteras kegiatan kereta sapu yang dilihat semakin berleluasa di negeri itu, kata Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali.

Beliau berkata, polis tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan kereta sapu dan sehubungan itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik telah diarah untuk melaksanakan 'Ops Sapu' bermula Selasa di seluruh negeri.

Saya memastikan semua Ketua Polis Daerah dan pasukan barisan hadapan polis untuk mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang didapati menjalankan aktiviti kereta sapu," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas video tular berkaitan pemandu sebuah van menjalankan kegiatan 'kereta sapu' membawa lapan penumpang yang telah dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini.

Katanya, video yang ditularkan KDM TV itu mendakwa pihak berkuasa terutama polis tidak mempunyai rasa toleransi kepada penduduk kampung yang ingin keluar memberi barangan, namun mereka perlu memahami kepentingan menjaga SOP bagi mengekang Covid-19.

"Selama ini, polis amat memahami keadaan orang kampung. Oleh itu, kita benarkan mereka keluar rumah membeli barangan keperluan semasa PKP... namun perlu mematuhi SOP yang ditetapkan.

"Dalam isu yang ditularkan itu, kereta sapu berkenaan membawa lapan penumpang dan ia telah melanggar SOP yang ditetapkan iaitu hanya 50 peratus atau lima orang boleh menaiki van tersebut," katanya.

Bagaimanapun, Hazani berkata, penduduk kampung tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya kerana kemungkinan besar mereka tidak mengetahui SOP yang ditetapkan.

"Kita persalahkan kereta sapu yang sememangnya sudah menjadi masalah sejak sekian lama di Sabah.

"Kita tahu kereta sapu tidak mematuhi undang-undang, apa lagi pematuhan SOP semasa PKP... oleh itu, kita akan banteras habis-habisan kegiatan kereta sapu di Sabah," katanya.

Katanya, pihaknya akan meminta kerjasama penguat kuasa lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan untuk mengadakan operasi membanteras kegiatan kereta sapu itu. - Bernama

 

Comments