Pelajar UPSI Juara Sugandoi Kudat

Comments · 37 Views

Gadis cilik bersuara lunak ini memilik kemampuan vokal yang luar biasa!

Oleh: Wartawan Graduan News

2 Mei 2021

 

Juara Sugandoi Daerah Kudat, R.S Aldermaye. (Sumber: Facebook Sugandoi Kaamatan 2021 peringkat Daerah Kudat)

Usai sudah pertandingan Sugandoi Kaamatan Daerah Kudat 2021 dengan menyaksikan pelajar UPSI, R.S Aldermaye menjuarai carta pertandingan gilang – gemilang itu pada 24 April lalu.

Dengan menyaksikan tujuh finalis yang sama hebatnya berentap dalam merebut gelaran juara, persaingan sengit itu akhirnya terlerai setelah gadis rupawan dari Kg. Lodung, Kudat dinobatkan sebagai juara dengan lagu “Upusnu” ciptaan Douglas Henry Monis, dan “Pitongkizadan” ciptaan Bobby Patrick dan Rollis Mitol.

Berdasarkan sumber, gadis jelita bernama R.S Aldermaye ini merupakan pelajar tahun akhir dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Muzik) di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Perak. Tidak begitu menghairankan sekiranya gadis cilik ini mempunyai kekuatan vokal dan pengawalan suara yang sangat baik sekali!

Terdahulu, penyanyi bersuara lunak ini pernah sebaris dengan 10 finalis bagi Sugandoi Kaamatan 2020 peringkat negeri Sabah yang diadakan secara maya. Fakta yang lebih menarik lagi, gadis ini sudah pernah membuat persembahan berprestij semasa Konsert Diraja Perak pada tahun 2018. Ternyata, gadis cilik ini bukan calang-calang orangnya!

Dalam pada itu, bakal guru ini juga pernah menjadi fenomena di UPSI dengan kelunakan suaranya yang boleh memukau pendengar. Untuk rekod, gadis ini bergiat aktif dalam nyanyian dan pernah dinobatkan sebagai Johan Sugandoi Festival Gawai Kaamatan UPSI 2018.

Kemunculan R.S Aldermaye pada tahun ini dijangka akan memberikan persaingan sengit bagi Sugandoi Negeri Sabah, bertempat di dewan Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) yang akan berlangsung tidak lama lagi. Semoga berjaya!

Comments