Seorang Penjenayah tegar serang polis ditembak mati

Comments · 32 Views

Seorang Penjenayah tegar serang polis ditembak mati

SEMPORNA: Polis menembak mati seorang lelaki yang cuba menyerang anggota polis menggunakan parang di perkampungan atas air di Kampung Panji Laut, dekat sini, jam 11.30 malam kelmarin.

Suspek dikenali sebagai Jamal Salih Kaldo, 40-an, seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina yang juga penjenayah tegar dikehendaki polis kerana terbabit kes curi dan pecah rumah, selain pelbagai rekod jenayah lampau.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata pada awalnya Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menerima maklumat berhubung kelibat suspek dalam buruan itu sebelum polis membuat serbuan di lokasi berkenaan.

Beliau berkata, anggotanya terpaksa menggunakan bot samaran sebelum serbuan dilakukan ke atas sebuah bilik di rumah terbabit.

"Selepas memperkenalkan diri sebagai anggota polis, pasukan kemudian bertindak menolak pintu bilik sebelum suspek dilihat mencapai sebilah parang panjang lalu terus meluru sambil melibas parang ke arah anggota polis.

"Bagi mempertahankan diri, polis terpaksa melepaskan tembakan amaran sebelum terkena pada paha, namun lelaki itu terus menyerang anggota polis," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Comments