Kompaun Sebanyak RM50,000 Kepada Peniaga Sinalau Bakas Wajar

Comments · 13288 Views

Kompaun Sebanyak RM50,000 Kepada Peniaga Sinalau Bakas Wajar

KOTA KINABALU: Peniaga gerai yang menjual babi hutan panggang atau dikenali sebagai sinalau bakas yang dikenakan kompaun RM50,000 pada Rabu lalu wajar dikenakan tindakan sedemikian.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, peniaga gerai itu bukan sekadar menjual sinalau bakas tetapi turut mengadakan aktiviti berkaraoke dan menjual minuman keras.

 

Peniaga ini juga tidak mempunyai lesen menjual minuman keras, lesen pusat hiburan mahupun permit menjual sinalau bakas atau hidupan eksotik lain.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah cukup bertolak ansur kerana aktiviti yang dilakukan sudah berlanjutan agak lama. Tindakan ini diambil berdasarkan aduan yang diterima daripada orang awam.

Dakwaan peniaga bahawa kedainya sudah hendak ditutup ketika kompaun dikeluarkan tidak benar kerana pasukan pematuhan SOP mempunyai bukti kedai itu masih beroperasi pada masa tersebut.

 

“Itu dakwaan untuk mendapatkan simpati. Kalau diikutkan, tindakan lebih keras boleh diambil kerana dia tiada lesen menjual minuman keras dan tiada permit jual makanan eksotik.

“Dia cuba meletakkan kesalahan di bahu PDRM sedangkan aktiviti karaoke berlanjutan sehingga larut malam dan awal pagi,” katanya katanya dalam sidang media dekat sini hari ini.

 

Justeru itu, beliau menggesa masyarakat dan warganet supaya tidak memutar belit perkara sebegini dan jangan hanya mendengar cerita daripada sebelah pihak sebaliknya, dengar dahulu penjelasan PDRM.

Menurutnya, penularan kisah ini telah menjadi satu bentuk provokasi kepada pasukan keselamatan yang sudah cukup banyak menguna kuasa budi bicara selama lebih 400 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

Bagaimanapun, setiap laporan dan tohmahan akan disiasat secara telus kerana polis tidak akan bertindak zalim.

Hazani berkata, bermula hari ini PDRM Sabah memastikan semua ketua polis daerah akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Semalam, peniaga sinalau bakas di Jalan Sulaman yang dikenakan kompaun RM50,000 mendakwa dalam kejadian 10 malam Rabu itu, operasi gerainya sudah ditutup namun, masih ada pelanggan yang sedang makan digerainya. – Utusan Online

Daftar bersama omiyou dan dapatan berita harian dari kami! daftar sini

Comments