DBKK Robohkan 40 Rumah Haram Setinggan Di Manggatal

Comments · 8828 Views

DBKK Robohkan 40 Rumah Haram Setinggan Di Manggatal

KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), merobohkan 40 struktur rumah setinggan yang didirikan secara haram berhampiran Kampung Muhibbah, Manggatal di sini, hari ini.

Proses merobohkan perumahan setinggan itu dijangka akan berlangsung selama dua minggu lagi dengan sasaran keseluruhan 400 rumah.

Pengarah Penguatkuasa DBKK, Abdul Mukti  Muchlish berkata, proses merobohkan perumahan haram ini membabitkan anggaran 40 hektar tanah membabitkan tujuh geran tanah.

Katanya, sebelum tindakan merobohkan rumah itu dilaksanakan, pihak DBKK sudah menghantar notis serta amaran kepada penduduk terlibat supaya berpindah sejak tahun 2017.

“Disebabkan masih ramai penduduk yang masih enggan berpindah, kita terpaksa menjalankan tindakan merobohkan rumah di kawasan ini,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Dalam pada itu, Mukti menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menjual tanah lot pada harga yang sangat murah.

Antara rumah setinggan yang dirobohkan.

“Jangan mudah percaya dengan tawaran penjualan tanah berdasarkan dokumen Penjualan Tanah (PT) yang tidak sah atau sudah dibatalkan.

“Kebanyakan kes ini membabitkan kawasan milik persendirian atau tanah kerajaan. Ramai yang terpedaya dengan tawaran harga rendah sebelum akhirnya menjadi mangsa penipuan.

“Walaupun ada permohonan tanah yang diluluskan, ia tidak semestinya melayakkan seseorang untuk mendirikan rumah tanpa mendapat kelulusan daripada pihak Jabatan Tanah dan Ukur,” katanya.

Menurutnya, beliau difahamkan, ada pihak yang menjual lot tanah pada harga antara RM500 sehingga RM10,000.

Katanya, harga yang ditawarkan juga berdasarkan perkhidmatan tambahan termasuklah penambakan atau pembersihan tanah serta pembinaan jalan raya.

“Setakat ini, kita mengesan beberapa kegiatan sama daripada pihak tidak bertanggungjawab itu di penempatan haram sekitar sini termasuklah Kampung Likas, Kampung Numbak, kawasan berhampiran Jabatan Perikanan serta Unggun Jaya,” katanya. – AsiaTimes

Comments