Anggap diri sendiri tak sesuai kerja restoran, remaja perempuan ditahan tipu positif COVID-19

Comments · 42 Views

Anggap diri sendiri tak sesuai kerja restoran, remaja perempuan ditahan tipu positif COVID-19

ISKANDAR PUTERI: Hanya kerana berasa tidak sesuai bekerja sebagai pelayan restoran di sini, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun menipu majikan kononnya dia dijangkiti COVID-19.
 
Perbuatannya itu menyebabkan majikannya terpaksa menutup restoran serta-merta dan membawa 12 pekerja melakukan ujian saringan COVID-19 sebelum semua mereka didapati negatif penyakit berkenaan, semalam.
 
Penipuan remaja berkenaan membawa padah apabila pemilik restoran berusia 32 itu membuat laporan polis sebelum dia ditahan di sebuah rumah di Taman Mutiara Rini di sini, jam 1 tengah hari tadi.
 
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar, berkata majikan itu menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp daripada remaja terbabit yang menghantar sekeping gambar surat mendakwa dia positif COVID-19.
 
"Disebabkan itu, lelaki berkenaan menutup restorannya dan pergi ke klinik bersama 12 pekerja lain untuk membuat ujian calitan COVID-19.
 
selepas semua mereka didapati negatif, majikan itu telah bertanya sendiri kepada remaja berkenaan untuk mengetahui perkara sebenar.
 
"Remaja itu kemudian mengaku dia telah menipu disebabkan tidak mahu datang kerja gara-gara berasakan dia tidak sesuai bekerja sebagai pelayan restoran," katanya dalam kenyataan hari ini.
 
Katanya, remaja itu baharu sahaja sehari diterima bekerja di restoran terbabit pada Isnin lalu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 420/468 Kanun Keseksaan atas kesalahan memalsukan laporan pemeriksaan ujian calitan COVID-19 dan suspek akan direman," katanya.
Comments