ESSCOM akan Perhebat keselamatan di Sabah dengan aset, teknologi Terbaharu - MKN

Comments · 653 Views

ESSCOM akan Perhebat keselamatan di Sabah dengan aset, teknologi Terbaharu - MKN

LAHAD DATU: Kawalan keselamatan di Sabah khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) akan diperhebatkan lagi dengan penggunaan aset dan teknologi baharu, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata pencerobohan anasir luar merupakan masalah yang besar di Sabah, justeru keselamatan dalam negara perlu diperkukuhkan serta diperhebat bagi meningkatkan kawalan sempadan dan perairan negara bagi menangani isu berkenaan.
 
"Sebab itu dalam perbincangan saya dengan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali serta Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Ahmad Fuad Othman berasakan Sabah ini adalah kawasan yang perlu kerajaan perhebatkan.
 
"Hal ini termasuk saya akan berbincang dengan Majlis Keselamatan Negara mengenai strategi baharu ini, " katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke ESSCom di sini semalam.
Beliau turut memuji kerjasama mantap agensi keselamatan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dalam ESSCom serta Pasukan Petugas Khas Kebangsaan (NTF) yang berjaya melakukan banyak tangkapan menerusi Op Benteng serta mengusir pendatang haram sekali gus menangani wabak COVID-19.
 
Sementara itu, Hamzah turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta yang diluluskan kepada ESSCom bagi menampung kos penambahbaikan pos-pos keselamatan di ESSZone.
 
Dalam lawatan kerjanya juga, Hamzah turut meninjau penempatan komuniti Pala'u di Kampung Panji Laut di sini dan berkata masalah yang sudah lama ini perlu diselesaikan dengan strategi.
 
"Saya akan bincang dengan Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Hajiji Noor) dan pemimpin politik di negeri ini mengenai tindakan untuk bersama-sama memastikan rancangan yang perlu dilakukan," katanya.
Hamzah dalam pada itu tidak mahu isu Pala'u berkenaan menjadi bahan retorik politik, setelah kerajaan mengambil tindakan mengatasinya.
 
"Selalunya, bila kerajaan umum (rancangan) 'ada orang' yang akan berikan kenyataan negatif sehingga menyebabkan sesuatu perkara dilakukan kerajaan itu tidak dapat dijalankan dengan baik," katanya lagi.
Dalam pada itu, Hamzah berkata rakyat di negara ini tidak perlu gusar mengenai peringatan keras yang diberikan Kuasa Usaha Kedutaan Korea Utara Kim Yu Song terhadap Malaysia.
 
"Dari segi keselamatan negeri, saya nak maklumkan kepada rakyat bahawa kita di pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak berasa tergugat langsung... ia juga tidak akan menggugat aspek keselamatan dalam negeri," katanya.
 
Yu Song dalam dalam kenyataannya kepada media sebelum keluar meninggalkan kedutaan pada Ahad berkata Malaysia akan menerima akibat daripada tindakan kerajaan dalam isu yang melibatkan rakyat warganegara republik itu.
-- BERNAMA
 
Comments