guest ▾
Omiyou Premium Ads

« Blog

Penganggur sebabkan kematian seorang warga asing dipenjara dua tahun

27 Feb 2026 · omiyou network · Crime · 865 views

Majistret Oon Kork Chern yang menjatuhkan hukuman itu setelah menerima pengakuan bersalah serta mendengar rayuan Mohammad Shahniezan Sahriel, 28, turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.

Dalam rayuan agar dikenakan hukuman ringan, Mohammad Shahniezan memberitahu ini merupakan kesalahan pertamanya, selain turut memberitahu perlu menjaga ibunya yang berusia 60 tahun serta adik lelakinya yang masih menjalani kursus di Johor.

Mengikut pertuduhan, Shahniezan didakwa menyebabkan kematian seorang lelaki warganegara Indonesia dengan melakukan tindakan cuai atau terburu-buru yang mungkin menyebabkan kematian, tetapi tanpa niat untuk membunuh, dengan memukul kepala mangsa menggunakan helmet.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu pada 15 Januari 2026, kira-kira jam 6.30 pagi di sebuah bilik hotel di Jalan Wong Nai Siong, satu kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada 15 Januari 2026 kira-kira jam 4.22 pagi, pengadu telah menerima panggilan daripada orang awam yang memaklumkan seorang lelaki warganegara Indonesia telah mengamuk di sebuah hotel di Jalan Wong Nai Siong.

Beberapa anggota polis bergegas ke tempat kejadian, namun mereka tidak pergi ke bilik hotel bagi meninjau keadaan lalu beredar dari situ.

Siasatan kemudian mendapati tertuduh bersama dua abangnya berada di dalam bilik hotel tersebut bersama mangsa, yang ketika itu sedang mengambil dadah.

Semasa tertuduh bersama dua abangnya hendak meninggalkan bilik hotel untuk pulang ke rumah, mangsa tiba-tiba melompat serta menghalang mereka di depan pintu.

Mangsa kemudian mengeluarkan sebilah pisau dan cuba menikam mereka, namun mereka berjaya menolaknya ke atas tilam serta mengikat tangannya ke belakang menggunakan tali pinggang, sebelum menghubungi pihak polis.

Pihak polis tiba namun tidak masuk ke dalam bilik, sebaliknya meminta mereka menghantar mangsa ke ladang kelapa sawit tempat mangsa bekerja, lalu meninggalkan tempat kejadian.

Namun pada masa sama, mangsa berjaya melepaskan tangannya yang diikat dan bertindak agresif cuba menikam mereka dengan menggunakan gunting.

Tertuduh kemudian mengambil helmet lalu memukul kepala mangsa namun mangsa terus bertidak agresif dan abang tertuduh mengambil tali di kaunter hotel untuk mengikat tangan mangsa.  

Mangsa yang terus meronta-ronta turut bertindak menghantuk kepalanya ke dinding beberapa kali.

Tertuduh bersama abangnya turut mengalami kecederaan dalam pergelutan itu.

Abang tertuduh kemudian menghubungi teman wanitanya untuk menjemput mereka bagi menghantar mangsa ke ladang kelapa sawit seperti yang diarahkan oleh pihak polis sebelum itu.

Bagaimanapun, dalam perjalanan ke sana mereka memutuskan untuk membawa mangsa ke balai polis sebagai langkah berjaga-jaga.

Setibanya di balai polis, anggota polis melihat mangsa duduk di tempat duduk belakang kereta lalu memeriksa pernafasan mangsa pada bahagian hidung di mana ketika itu mangsa masih bernafas.

Anggota polis terbabit kemudian mengarahkan mereka menghantar mangsa ke hospital dan setibanya di hospital, pemeriksaan oleh doktor bertugas ketika itu mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Keshava Rao Tharma Raja. sementara tertuduh tidak diwakili peguam bela.

More articles

Which Legal Problems Can Property Lawyers in Delhi Solve Effectively

6 Jul 2026 · Crime

One of the biggest concerns while purchasing any property is confirming whether the seller has legal ownership.

Top 10 Questions to Ask Criminal Lawyers in Delhi Before Hiring Them

3 Jul 2026 · Crime

Here are the top 10 questions you should ask before hiring a criminal lawyer.

Tiga dipanggil bantu siasatan kes murid didakwa dibuli di asrama tenom

23 Jun 2026 · Crime

KOTA KINABALU: Polis telah memanggil tiga individu bagi membantu siasatan berhubung kes seorang murid perempuan yang dipercayai menjadi mangsa buli di sebuah asrama sekol…

Wanita ditahan polis rampas air dan daun ketum di Putatan

23 Jun 2026 · Crime

PENAMPANG: Seorang wanita tempatan ditahan selepas polis merampas sejumlah cecair dan daun disyaki ketum dalam satu serbuan di Kampung Ulu Seberang, Putatan, pada Jumaat…

Omiyou Premium Ads
Coming soon