Lebih 15 Premis Perjudian Di Sekitar Penampang & Putatan Diputuskan Bekalan Elektrik

Comments · 5603 Views

Lebih 15 Premis Perjudian Di Sekitar Penampang & Putatan Diputuskan Bekalan Elektrik

PENAMPANG: Berselindung di sebalik perniagaan runcit dan makanan, 15 premis sekitar daerah Penampang dan Putatan diputuskan bekalan elektrik selepas didapati menjalankan kegiatan judi tanpa lesen.

Operasi bermula jam 8 pagi itu dijalankan di kawasan Taman Suria, Kivatu dan beberapa lagi premis di Pekan Donggongon.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).

Katanya, usaha membongkar kegiatan semua premis berkenaan berjaya dilakukan dalam beberapa operasi sejak tahun lalu.

“Hari ini, kita menjalankan operasi pemotongan bekalan elektrik bagi memastikan kegiatan perjudian atas talian ini dapat dibendung daripada terus berleluasa.

“Kejayaan ini adalah hasil daripada maklumat yang diterima daripada orang awam sebelum serbuan dilakukan untuk tangkapan bagi melumpuhkan operasi jenayah ini ,”katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan, hari ini.

Mohd Haris berkata, hasil daripada kejayaan ini, seramai 15 individu turut berjaya ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah.

Katanya, operasi seperti ini akan terus dijalankan sebagai salah satu usaha untuk membanteras aktiviti perjudian terutamanya di daerah Penampang.

“Semua premis yang terbabit ini membabitkan kegiatan perjudian jenis atas talian yang berselindung disebalik aktiviti perniagaan runcit dan makanan.

“Polis mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada SESB cawangan Penampang kerana membantu dalam proses memutuskan bekalan elektrik di premis terbabit,” katanya. – AsiaTimes

Comments