Daerah Pitas Diisytihar Kawasan Penyakit Demam Babi Afrika

Comments · 310 Views

Daerah Pitas Diisytihar Kawasan Penyakit Demam Babi Afrika

KOTA KINABALU: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah (JPVS) hari ini mengisytiharkan wabak Demam Babi Afrika (ASF) di daerah Pitas berikutan penemuan virus berkenaan dalam babi yang diternak di daerah itu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, berikutan pengisytiharan itu, JPVS diberi kuasa mengambil tindakan bagi menghalang penularan penyakit ASF mengikut Subseksyen 45(1) Enakmen Haiwan 2015.

Beliau berkata, tindakan yang akan diambil jabatan itu ternasuk memusnahkan babi di kawasan yang terjejas, selain mengawal aktiviti mengangkut dan menjual produk babi yang berasal dari kawasan berkenaan.

“Pada masa yang sama, premis dan kampung yang dikenal pasti berlaku wabak akan dinyah kuman. JPVS juga akan menjalankan kempen kesedaran bagi meningkatkan kefahaman orang ramai terhadap penyakit itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, pemusnahan babi di kawasan yang terjejas akan dilaksanakan secepat mungkin memandangkan ASF adalah penyakit yang sangat mudah berjangkit dan tiada ubat atau vaksin untuk menghalang penyakit berkenaan.

Setakat ini, katanya dianggarkan 2,500 babi dalam lingkungan 50 kilometer dari Pitas terbabit dalam pemusnahan itu.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri berkata, kerajaan akan menimbang untuk memberi pampasan kepada penternak yang babi mereka dimusnahkan JPVS berdasarkan kadar yang akan ditentukan kemudian.

“Kaedah kawalan ini akan diselaraskan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

“Tujuan utama kita ialah untuk menghalang penularan penyakit ini ke ladang ternakan babi secara komersial di Tuaran, Kota Kinabalu, Papar, Sandakan dan Tawau,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, penyakit ASF tidak menjejaskan pengeluaran babi untuk kegunaan tempatan yang dianggarkan bernilai RM300 juta setahun.

Katanya, kerajaan negeri turut mengambil perhatian terhadap keputusan kerajaan Sarawak yang mengharamkan babi dan produk haiwan itu dari Sabah.

“Bagaimanapun, kita yakin tindakan Sarawak itu tidak memberikan kesan yang besar terhadap industri ternakan babi di Sabah,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan itu berkata, ASF adalah penyakit babi yang tidak membahayakan manusia. – HMetro

 
Comments