Berebut harta punca pasangan suami isteri dibunuh

Comments · 429 Views

Manjung: Pergaduhan kerana berebut harta disyaki menjadi punca seorang lelaki warga emas sanggup membunuh pasangan suami isteri menggunakan sabit sawit.

Kejadian di dalam kawasan kebun sawit dekat Pantai Remis, di sini, hari ini, menyebabkan mangsa masing-masing berusia 74 tahun maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.

Suspek berusia 61 tahun adalah bapa saudara kepada mangsa lelaki dan sudah ditahan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 74 tahun ialah anak saudara lelaki dan isteri maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan muka.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kejadian terbabit pada jam 3.30 petang.

"Kejadian disyaki berpunca daripada perebutan harta yang menyebabkan berlakunya pergaduhan antara suspek berusia 61 tahun dengan kedua-dua mangsa.

"Mayat mangsa ditemui di dalam kawasan kebun sawit dan dihantar ke Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk dibedah siasat.

"Polis bertindak memberkas suspek dan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung esok untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika disabitkan kesalahan, hendaklah dihukum mati.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian berkenaan diminta berhubung dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Asisten Superintenden Ashazarul Khairi Ab Hamid di talian 012-5087026 untuk membantu siasatan," katanya.

Disiarkan pada: Mac 5, 2024 @ 10:10pm
Comments