Lelaki dipenjara, denda guna IC palsu kerja sebagai guru di keningau

Comments · 458 Views

KENINGAU - Seorang lelaki dipenjara 10 bulan dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja sebagai guru di sebuah sekolah di Tenom dekat sini, sejak 29 tahun lepas.

Majistret, Nur Asyraf Zolhani menjatuhkan hukuman itu terhadap Ridal Abdul Kadir, 53, selepas tertuduh mengaku bersalah.

Ridal diarah menjalani hukuman berkenaan dari tarikh tangkap pada 29 Januari lepas dan sekiranya gagal membayar denda akan dikenakan penjara tambahan selama enam bulan.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25 (1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau dengan kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pada 11.30 pagi, 29 Januari lepas satu pemeriksaan dokumen telah dijalankan di kawasan letak kenderaan, kuarters guru sekolah berkenaan sebelum tertuduh ditahan kerana disyaki memiliki kad pengenalan palsu bernombor 700711-12-5369 atas nama Ridal Bin Abdul Kadir.

Semakan lanjut dibuat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendapati tertuduh disyaki menggunakan kad pengenalan bertaraf warganegara yang palsu dengan nombor dan nama tersebut untuk bekerja sebagai guru di sekolah itu.

Semakan rekod mendapati kad pengenalan dengan nombor dan nama sama pernah dikeluarkan oleh JPN, bagaimanapun dengan taraf Pemastautin Sementara.

Comments