guest ▾
Omiyou Premium Ads

« Blog

Sabah catat 1,493 kedai berdaftar SARA, liputan diperluas sehingga pedalaman

23 Jun 2026 · omiyou network · Government Assistance & Support · 660 views

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, peningkatan jumlah kedai yang menyertai program itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan memastikan penerima yang layak dapat menikmati manfaat SARA dengan lebih mudah dan dekat.

Beliau berkata, penggunaan MyKad sebagai medium penebusan dipilih kerana ia lebih praktikal memandangkan setiap warganegara Malaysia yang layak mempunyai dokumen berkenaan.

“Kalau mereka layak menerima bantuan SARA, mereka boleh datang ke kedai dan terus menebus barangan yang disediakan menggunakan MyKad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan program SARA di Kota Kinabalu, di sini pada Selasa.

Amir Hamzah berkata, usaha memperluaskan rangkaian kedai SARA bukan sahaja tertumpu di kawasan bandar, malah turut melibatkan kawasan kampung dan pedalaman bagi mengurangkan jarak yang perlu dilalui penerima untuk mendapatkan bantuan.

“Di Sabah, kita telah melihat peningkatan kedai yang berdaftar di bawah SARA sehingga kini mencapai 1,493 kedai di seluruh negeri. Ia bukan hanya di bandar besar tetapi juga masuk ke kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha meningkatkan liputan program berkenaan melalui kerjasama bersama pihak berkaitan termasuk penyedia perkhidmatan dan agensi pelaksana.

Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan bantuan yang diberikan benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan serta memenuhi konsep bantuan bersasar.

Dalam masa sama, beliau berkata pelaksanaan SARA turut memberi manfaat kepada usahawan tempatan apabila produk mereka diberi peluang untuk dipasarkan melalui kedai-kedai yang menyertai program tersebut.

Menurutnya, sehingga kini lebih 150,000 jenis barangan telah tersedia dalam sistem SARA di seluruh negara, sekali gus memberi pilihan lebih luas kepada penerima.

“Program ini bukan sahaja memberi bantuan kepada rakyat, tetapi turut membantu menggerakkan ekonomi tempatan dan memberi peluang kepada usahawan meningkatkan jualan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memperluaskan penyertaan kedai-kedai kecil dalam program SARA bagi memastikan liputan bantuan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh.

Tambah beliau, usaha berkenaan selari dengan matlamat kerajaan untuk memastikan setiap bantuan disalurkan secara berkesan, mudah dicapai dan memberi impak kepada rakyat.

“Yang penting adalah bantuan itu sampai kepada mereka yang memenuhi syarat dan mereka boleh mendapatkannya dengan lebih mudah,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH

 

More articles

10,825 KIR di Sabah keluar senarai sebagai miskin tegar

17 Jun 2026 · Government Assistance & Support

TUARAN: Sabah berjaya mencapai sifar Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar daripada angka yang telah dikunci pada Januari 2026 melibatkan seramai 10,825 KIR.

SYUKUR Sabah 2026 – Semak Bayaran Fasa 2 Mulai 21 Mei

23 May 2026 · Government Assistance & Support

SYUKUR Sabah 2026 adalah program bantuan tunai bulanan / berfasa kepada rakyat di negeri Sabah. Ia merupakan sebuah inisiatif Kerajaan Negeri Sabah melalui Program Sentuh…

Kerajaan Sabah perkenalkan Skim Insurans Berkelompok percuma, manfaat 3.5 juta penduduk sabah

24 Apr 2026 · Government Assistance & Support

Skim Insurans Rakyat Sabah ialah inisiatif kerajaan negeri yang menyediakan perlindungan kemalangan percuma sehingga RM10,000 untuk 3.5 juta penduduk Sabah.

Bantuan Subsidi RM350 bantu ibu bapa tangani kos terapi autisme

20 Apr 2026 · Government Assistance & Support

TAWAU: Kerajaan Sabah menyediakan subsidi sebanyak RM350 sebulan kepada ibu bapa yang menghantar anak autisme ke pusat intervensi di seluruh negeri sebagai usaha meringan…

Omiyou Premium Ads
Coming soon