Sila Ambil tindakan tegas terhadap kegiatan 'sugar daddy'

Comments · 75 Views

Sila Ambil tindakan tegas terhadap kegiatan 'sugar daddy'

Kota Bharu: Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terbabit dengan kegiatan 'sugar daddy' termasuk aplikasi Sugarbook sekiranya dakwaan yang dilaporkan itu benar.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, dakwaan peningkatan jumlah mahasiswa yang terbabit dalam kegiatan tidak bermoralitu sangat mendukacitakan.

"Ini satu perkara yang sangat mendukacitakan kita dan saya sudah sebut bahawa pihak kerajaan akan mengenakan tindakan yang lebih keras dan tegas terhadap mereka yang terbabit termasuk aplikasi itu.

"Aplikasi itu juga perlu dihalang daripada digunakan di negara kita. Ini kerana ia lebih menjurus untuk menyelesaikan isu yang berbangkit.

"Kita tak boleh mendorong rakyat dalam negara kita untuk melakukan perkara yang tidak betul, melanggar undang-undang dan hukum ini dengan adanya aplikasi berkenaan," katanya selepas menyampaikan Sumbangan Musaadah Covid-19 kepada pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peningkatan jumlah mahasiswa di Lembah Klang yang didakwa menggunakan aplikasi tidak bermoral, bagi mencari 'sugar daddy.'

Media sebelum ini melaporkan, Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, berkata statistik menunjukkan seramai 12,705 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) berdaftar dengan aplikasi Sugarbook untuk mencari "sugar daddy."

Katanya, berdasarkan rekod katanya, terdapat peningkatan lebih 40 peratus pendaftaran pengguna baharu aplikasi itu akibat desakan hidup sewaktu pandemik Covid-19 masih lagi menular di seluruh dunia.

Beliau berkata, perkembangan yang sangat membimbangkan ini menggambarkan keruntuhan moral dan pada masa sama menunjukkan kegawatan kewangan golongan pelajar yang semakin meruncing hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, perkara itu masih dalam siasatan kerajaan dan kementerian berkaitan termasuk Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mengambil tindakan sewajarnya.

 

AHMAD Marzuk ketika hadir menyampaikan sumbangan Musaadah Covid-19. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHMAD Marzuk ketika hadir menyampaikan sumbangan Musaadah Covid-19. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Comments