2 beranak ditahan SPRM, terima rasuah kira-kira RM10,000

Comments · 430 Views

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah telah menahan dua beranak kerana disyaki meminta dan menerima rasuah sebanyak kira-kira RM10,000.

Menurut sumber, kedua-dua suspek memperoleh wang tersebut dengan memperdaya orang ramai membabitkan permohonan rumah skim Program Perumahan Rakyat di salah sebuah daerah di negeri ini.

Menurutnya, suspek pertama seorang bapa berusia 40-an dipercayai melakukan perbuatan tersebut bersama anak lelakinya yang berusia 20-an dan mereka telah ditahan antara kira-kira jam 3 hingga 4 pagi tadi dalam satu serbuan di sebuah kawasan perumahan di Sandakan.

“Kedua-dua beranak ini dipercayai melakukan kesalahan tersebut dari tahun 2023 dan mereka ditahan kerana meminta sejumlah wang daripada orang ramai dengan menjanjikan rumah mesra rakyat dan diberi insentif seperti perkakasan rumah sekiranya para pemohon dapat menarik lebih ramai orang.

“Wang rasuah yang diterima adalah melalui bayaran tunai dan pindahan bank ke akaun isteri suspek,” kata sumber tersebut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy semasa dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, beberapa tangkapan lagi dijangka akan dibuat susulan kes ini dan turut mengingatkan orang ramai yang pernah menjadi mangsa kepada sindiket seperti ini agar tampil ke hadapan bagi membantu siasatan SPRM.

Comments