Bapa ugut guru ditahan polis, anak tertangkap merokok dalam tandas sekolah

Comments · 684 Views

KOTA KINABALU: Polis Kota Kinabalu menahan seorang bapa kerana mengeluarkan kata-kata ugutan ke atas seorang guru berikutan anaknya telah tertangkap dan didapati merokok di dalam tandas sekolah terbabit semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi Sabah Media mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian itu.

Menurut Mohd Zaidi, sebelum kejadian kira-kira jam 9.40 pagi, semalam (29 Jan), pengadu yang juga seorang guru lelaki berusia 40 tahun itu telah dimaklumkan oleh pelajar bahawa terdapat pelajar merokok di dalam tandas sekolah berkenaan.

“Pengadu terus pergi ke tandas untuk membuat pemeriksaan dan terhidu bau asap rokok, beliau mendapati tiga orang pelajar berada di dalam tandas itu.

“Pengadu mahu membawa pelajar terbabit ke bilik disiplin tetapi pelajar tersebut bertindak agresif. Pengadu juga telah memeriksa beg pelajar tersebut dan menemui dalam begnya mengandungi satu kotak rokok,” katanya.

Menurut pengadu kepada pihak polis, pelajar terbabit telah menghubungi bapanya dan tidak lama kemudian bapa pelajar itu telah datang ke sekolah dalam keadaan marah serta mempersoalkan pengadu kenapa memukul anaknya.

“Pengadu telah menjelaskan sebab menahan dan membuat pemeriksaan terhadap anaknya tetapi suspek tidak dapat menerima dan terus memaki hamun serta mengamuk di dalam bangunan sekolah,” jelas Mohd Zaidi.

Berikutan kejadian itu, Mohd Zaidi berkata, suspek (bapa pelajar) telah ditangkap dan siasatan lanjut diteruskan.

“Suspek telah ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap guru sekolah,” katanya.

Comments