Terkejut cari nombor MyKad di Google keluar semua data peribadi, sijil PMR pun ada! sila waspada

Comments ยท 168 Views

MASALAH kebocoran data peribadi semakin menjadi ancaman dalam ruang siber pada ketika ini seiring dengan kemajuan teknologi yang semakin canggih.

Malah, masalah tersebut dilihat semakin meruncing dalam kalangan kelompok yang buta sistem teknologi maklumat (IT).

Ia sekali gus menyebabkan data seseorang individu itu terdedah kepada umum sekali gus menyebabkan mereka menjadi mangsa sindiket penipuan atau scammer yang semakin berleluasa.

Terbaharu, seorang warga maya, Acu Laa meluahkan kerisauannya selepas data peribadi termasuk nama penuh, nombor kad pengenalan (IC) dan alamat rumahnya boleh didapati dengan mudah.

Dia menyedari perkara tersebut selepas pempengaruh media sosial, Pendakwah Teknologi membuat satu posting kepada pengikutnya untuk cuba mencari data mereka dengan menggunakan IC melalui carian Google.

"Ada data aku habis diploma dan sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR). Naya," tulisnya.

Difahamkan, data peribadi individu tersebut telah dimuat naik oleh orang lain melalui aplikasi Scribd.

Seorang lagi warga maya, Mohamad Syahir turut meluahkan perkara yang sama apabila maklumat peribadinya turut dimuat naik dalam Scribd.

Hasil pemerhatian Majoriti di laman Facebook Pendakwah Teknologi, kebanyakan data yang terdedah kepada umum dimuat naik ke dalam Scribd tanpa sengaja oleh individu lain.

Hal ini kerana ada segelintir daripada pengguna berasakan data peribadi ke laman-laman terbuka seperti Scribd selamat.

Untuk makluman, Scribd merupakan salah satu laman yang membolehkan pengguna memuat naik dokumen dan berkongsi dengan yang lain.

Namun, salah satu perkara yang menjadi masalah adalah apabila ramai memuat-naik dokumen peribadi dan menetapkannya sebagai akses terbuka. — Majoriti

Comments