Kulim dan Kedah pula dikenal pasti 'dijajah' ribuan warga asing

Comments ยท 300 Views

KULIM: Ketika beberapa kawasan di Johor dan Kelantan kini menjadi koloni etnik Rohingya, lain pula keadaan di dua kawasan di Lunas, Kedah yang 'dijajah' lebih 50,000 pekerja asing terdiri warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia sehingga menggusarkan penduduk tempatan.

Kawasan Paya Serdang dan Labu Besar ibarat sudah dikuasai pekerja asing dari tiga negara itu yang mendiami kawasan terbabit. Majoriti mereka bekerja dalam pelbagai sektor industri dan pembinaan, khususnya di Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech) berhampiran.

Meskipun ramai antara mereka bekerja secara sah, penduduk setempat semakin bimbang dengan bilangan warga asing yang meningkat mendadak sehingga mewujudkan persepsi Paya Serdang dan Labu Besar seolah-olah bukan lagi di Malaysia.

Kumpulan warga asing terbabit bukan sahaja mengusahakan kedai runcit dan kedai makan, malah bercucuk tanam dan ada yang turut menternak haiwan dengan membina reban ayam secara terbuka seperti di tempat asal mereka.

Semalam, BH mendedahkan, bermula kurang 10 orang di sesuatu kawasan, jumlah etnik Rohingya bertambah drastik hanya beberapa tahun sehingga membentuk koloni di banyak lokasi seluruh negara, termasuk sekurang-kurangnya empat perkampungan dikuasai mereka di dua negeri, Johor dan Kelantan.

Malah, etnik Rohingya yang majoritinya masuk ke negara ini dari Rakhine, Myanmar sebagai pelarian atau pencari suaka, kini ramai yang sudah mengambil alih serta menguasai pelbagai urusan, termasuk aktiviti perniagaan yang sebelum ini dilakukan penduduk tempatan.

 
Keratan akhbar BH semalam.
Keratan akhbar BH semalam.

 

Meskipun ada yang masih menyara hidup sebagai petani, buruh atau pengutip besi buruk, ramai etnik Rohingya dikesan memiliki perniagaan sendiri seperti kedai runcit, selain menjadi pembekal barangan keperluan harian atau subkontraktor.

Kehadiran mereka di sesuatu kawasan atau kampung juga ibarat 'magnet' apabila menarik warga asing lain, termasuk Bangladesh dan Myanmar seperti keadaan yang dilihat di Kulim.

BH yang meneruskan tinjauan warga asing yang membentuk koloni tersendiri di seluruh negara, mendapati ada dalam kalangan warga asing, dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) hidup bersembunyi dalam kalangan pekerja sah di Lunas.

Lebih parah lagi, mereka mula membuka premis perniagaan dengan menggunakan lesen milik penduduk tempatan, malah turut menganjurkan pasar malam pada setiap Ahad yang disertai peniaga dalam komuniti pendatang itu di kawasan berdekatan rumah kedai Paya Serdang.

Pengunjung pula terdiri ratusan warga asing, termasuk yang bekerja di kilang dan kawasan pembinaan berdekatan.

Penduduk, Shaiful Azim Sobriee, 39, berkata kawasan perumahannya di Taman Lobak, dekat Labu Besar antara yang turut 'dijajah' warga asing yang menjadikan kediaman sekitar sebagai asrama sejak tiga tahun lalu.

"Setiap hari warga Bangladesh dan Myanmar berkumpul hingga lewat malam, ada minum minuman keras sehingga mabuk, ini amat merisaukan. Rumah kedai di bahagian depan taman ini sudah dipenuhi mereka, berbanding cuma beberapa lot kedai kosong dijadikan asrama pekerja pada peringkat awal.

 

Warga asing sering bersikap seperti di negara asal.
Warga asing sering bersikap seperti di negara asal.

 

"Disebabkan terlalu ramai, ada pula pekerja Bangladesh bina rumah kongsi," katanya mengakui sebelum ini, ada juga pemeriksaan dilakukan pihak berkuasa, namun sejak beberapa tahun kebelakangan, gerakan sedemikian tidak kelihatan sedangkan penduduk sudah membuat aduan.

Perkara sama dikongsi penduduk Kampung Paya Serdang, Mohd Amiruddin Shafie, 45, yang hairan bagaimana jumlah pekerja asing boleh menjadi terlalu ramai dalam tempoh singkat.

"Sudah bertahun Kulim Hi-Tech dibuka, sebelum ini memang ada pekerja asing, tetapi taklah ramai seperti sekarang. Kawasan Paya Serdang tidak pernah dijadikan asrama warga asing, namun tiba-tiba sahaja, kawasan rumah kedai itu jadi tempat tinggal mereka.

"Mulanya, jumlah mereka tak ramai, kini hampir semua lot kedai kosong jadi asrama," katanya sambil mempersoalkan sama ada pihak berkuasa terutama Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) dan Jabatan Imigresen memantau perkembangan itu.

 


Ambil tindakan pihak pinjamkan lesen berniaga

Pihak berkuasa terutama Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) digesa mengambil tindakan tegas terhadap penduduk tempatan yang membenarkan premis dan lesen perniagaan mereka digunakan warga asing untuk berniaga.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lunas, Khairul Anuar Ramli, berkata masalah kebanjiran warga asing di Lunas bukan baharu, sebaliknya menjadi semakin kritikal apabila ada premis diusahakan peniaga bukan warganegara di setiap taman perumahan di kawasan itu.

 

Khairul Anuar Ramli.
Khairul Anuar Ramli.

 

"Pihak berkuasa sepatutnya kawal masalah ini kerana banyak aduan dibuat penduduk kepada MPKK. Masalah ini berlarutan kerana tiada tindakan agresif diambil pihak berkuasa walaupun penduduk buat aduan.

"Saya sendiri sentuh isu ini ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, sebut tentang elemen perlu diambil kira berkaitan petempatan warga asing sehingga mereka bebas berniaga. Namun agensi berkaitan beri jawapan yang hanya sedap didengar telinga, tapi tak selesai secara serius.

"Alasan mereka, premis milik warga tempatan dan dilesenkan, jadi tidak menyalahi undang-undang. Yang kita persoal perniagaan dibuat warga asing Bangladesh dan Myanmar sehingga boleh dikatakan di hampir semua kawasan perumahan, mereka berniaga," katanya.

Beliau mempersoalkan sama ada pihak berkuasa berkaitan tidak tahu atau sengaja tidak mahu mengambil tindakan atas alasan ia kawasan pembangunan dan jika warga asing terbabit ditahan, tidak ada tenaga buruh untuk membina kilang dan pelabur akan beralih ke tempat lain.

Khairul Anuar berkata, apa yang dibangkitkan beliau bukan mendesak supaya pendatang asing ditangkap, tetapi tindakan membanteras warga asing yang berniaga dengan menggunakan lesen warga tempatan.

"Jika mereka tiada permit sah, itu urusan Jabatan Imigresen. Peringkat pentadbiran MPKK, perlu ada tindakan serius untuk tangani isu ini. Mereka berniaga seolah-olah berada di negara asal, kebal daripada tindakan dan boleh berniaga sewenang-wenang.

"Secara tak langsung mereka menguasai ekonomi tempatan. Adakah jika kita ke negara luar, kita dapat berniaga seperti mereka? Tentu tidak, malah kita boleh diambil tindakan penjara," katanya.

Comments