Amerika Syarikat senaraikan semula Houthi sebagai pengganas

Kommentare · 101 Ansichten

WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) menyenaraikan semula kumpulan Houthi yang berpangkalan di Yaman dalam senarai kumpulan pengganas.

Ia dilihat sebagai usaha terbaharu Washington untuk membendung serangan ke atas kapal komersial menggunakan laluan perkapalan antarabangsa di Laut Merah.
Menurut pegawai, label Pengganas Global Ditetapkan Khas (SDGT) yang dikenakan ke atas kumpulan disokong Iran itu turut mengenakan sekatan keras.
 
Malah, ia bertujuan memotong pembiayaan dan pembekalan senjata yang digunakan oleh Houthi untuk menyerang atau merampas kapal di lorong perkapalan Laut Merah.
 
Penasihat Keselamatan Negara, White House, Jake Sullivan berkata, penyenaraian ini merupakan alat penting untuk menghalang pembiayaan kepada Houthi, menyekat lagi akses mereka terhadap pasaran kewangan dan memastikan mereka bertanggungjawab atas tindakan mereka.
 
Tambahnya, jika Houthi menghentikan serangan mereka di Laut Merah dan Teluk Aden, Washington akan segera menilai semula penyenaraian itu.
 
Pentadbiran Presiden Joe Biden juga mengeluarkan arahan yang bertujuan mengelakkan kesan ke atas penduduk Yaman yang bergantung kepada import makanan dan bantuan kemanusiaan.
 
Serangan Houthi mengganggu perdagangan global, mencetuskan kebimbangan terhadap inflasi dan kebimbangan bahawa kesan perang Israel-Hamas boleh menjejaskan kestabilan Asia Barat.
Minggu lalu, Biden menggelar Houthi sebagai kumpulan pengganas.
 
Pesawat perang, kapal dan kapal selam AS dan Britain melancarkan puluhan serangan udara menyasarkan Houthi yang menguasai bahagian paling ramai penduduk di Yaman.
 
Sementara itu, jurucakap Houthi, Mohammed Abdulsalam menegaskan tindakan penyenaraian tidak akan menjejaskan operasi.
 
Kumpulan Houthi melakukan serangan ke atas kapal komersial berkaitan Israel atau menuju ke pelabuhan Israel, sebagai tanda sokongan kepada rakyat Palestin ketika rejim Zionis meneruskan operasi ketenteraan di Gaza.
Kommentare