Hamas Adalah pengganas, PBB tolak resolusi akhiri konflik Gaza

Comments · 135 Views

GENEVA: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) kelmarin menolak resolusi yang diusulkan Russia untuk mengutuk keganasan di Asia Barat, selain gagal mencapai persetujuan untuk melaksanakan gencatan senjata di Semenanjung Gaza.

Mesyuarat itu berlangsung ketika Israel bersiap sedia untuk melancarkan serangan darat di Gaza selepas hampir 3,000 rakyat Palestin maut terkena bedilan bom tentera Zionis.

Penolakan itu juga dibuat ketika Presiden Amerika Syarikat (AS) bakal melawat Israel hari ini sebagai mewakili semua sekutu Israel dengan membawa harapan ‘memujuk’ Zionis supaya menghentikan operasinya di Gaza.

Hanya empat negara mengundi resolusi Russia yang dibacakan oleh menteri luarnya, Sergey Lavrov, manakala empat lagi termasuk AS mengundi untuk menolak dan enam negara anggota berkecuali.

Selain itu, teks kedua yang dicadangkan Brazil pula mengutuk pergerakan Hamas dan mendapat sokongan meluas daripada negara anggota yang lain.

Duta Besar Russia ke PBB, Vassily Nebenzia berkata, biarpun resolusi yang diusulkan gagal, dunia tahu Russia tidak pernah menyokong keganasan Zionis.

Dalam pada itu, United Kingdom (UK) yang turut menolak usul resolusi Russia menyifatkan negara itu sebagai ‘kurang berunding’ dan ‘mahu mencari salah’.

“Kami tidak boleh menyokong resolusi yang tidak mengutuk serangan Hamas di Israel,” kata wakil UK, Barbara Woodward.

Sementara itu, Duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour berkata, UNSC mempunyai kewajipan untuk bertindak dalam menghalang Israel menindas penduduk di Gaza, menyaksikan 12 nyawa bagi setiap jam terbunuh akibat kekejaman Zionis.

“Jangan beri alasan atau hantar isyarat bahawa nyawa rakyat Palestin tidak penting.

“Jangan berani menyatakan Israel tidak bertanggungjawab terhadap bom yang digugurkan atas kepala rakyat Palestin.

“Apa yang berlaku di Gaza bukanlah operasi ketenteraan, sebaliknya serangan besar-besaran, pembunuhan beramai-ramai,” tegasnya. – AFP

Comments